Kajian tumbuhan MARDI berjuta-juta ringgit dicuri
CAMERON HIGHLANDS 1 Jun - Kajian tumbuhan yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui penyelidikan bernilai jutaan ringgit kerap menjadi sasaran pencuri termasuk di kalangan saintis.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Saharan Anang berkata, kes kecurian yang biasanya melibatkan tumbuhan hibrid itu sukar dibendung kerana ia tidak melibatkan satu spesies penuh tetapi hanya bahagian tertentu sahaja.
``Selepas sesuatu lawatan, pihak MARDI dapati cabang atau batang sesuatu pokok itu sudah hilang,'' katanya pada sidang akhbar Prapelancaran Taman Agroteknologi MARDI di sini semalam.
Katanya, kemajuan dalam bidang sains terutama aspek pengkulturan tisu membolehkan bahagian pokok yang dicuri itu dibiakkan kembali menjadi seperti pokok asal.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerugian kepada pihak MARDI yang bersusah-payah menghasilkan sesuatu spesies baru tumbuhan.
Tambah Saharan, antara spesies yang kerap dicuri ialah hibrid baru bunga anggerik.
Menurut beliau, kejadian curi kerap berlaku semasa pelawat dibawa melihat sekitar hasil penyelidikan baru yang dicapai oleh MARDI.
MARDI memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun dalam program pembangunan dan penyelidikan tanaman serta haiwan bagi tujuan memajukan sektor pertanian negara.
Sejak ditubuhkan, pada 1969 sehingga kini, MARDI dilihat sebagai salah satu agensi yang paling berjaya di bawah Kementerian Pertanian dalam memajukan teknologi pertanian negara.
Tambah beliau, selain para saintis, pihaknya juga berhadapan dengan sikap pelawat awam yang turut membawa keluar sesuatu tumbuhan tanpa kebenaran MARDI.
Ujar Saharan, kejadian di kalangan orang awam dipengaruhi oleh sikap suka mencuri atau kerana tertarik dengan sesuatu spesies yang sukar diperoleh di kawasan lain selain di stesen penyelidikan MARDI.
Sementara itu, Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dijadual dirasmikan oleh Sultan Pahang pada 14 Jun ini.
Taman seluas 42 hektar di Tanah Rata itu terbahagi kepada Taman Inggeris, Taman Herba, Taman Anggerik, Taman Ros dan pusat penyelidikan serta pusat maklumat pengunjung.
Menurut Saharan, taman agroteknologi itu menggabungkan aspek pertanian, penyelidikan dan pelancongan.
Ujar beliau, pelawat akan diberi peluang untuk mendalami aspek pertanian seperti teknik penanaman bunga ros yang sebelum ini agak jarang untuk dipelajari orang ramai.
Selain itu, pengunjung ke taman tersebut akan berpeluang melihat Muzium Teh yang pada asalnya merupakan kilang teh yang pertama dibangunkan di negara ini.
Kata Saharan lagi, inisiatif pihak MARDI menubuhkan taman agroteknologi tersebut akan menwujudkan satu lagi daya tarikan pelancongan di Cameron Highlands. -- Utusan Malaysia. (1-Jun-2003)
Untuk informasi terlanjut, sila lihat Cameron Highlands Agrotechnology Park.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment