Wednesday, February 15, 2006

Projek Diraja Lojing

Lojing jadi pusat pertanian hawa sejuk
Oleh ANGELINA SINYANG

CAMERON HIGHLANDS 15 Feb. 2006 - Kerajaan Kelantan akan membangunkan kawasan tanah tinggi Lojing yang terletak di sempadan Kelantan-Perak dekat sini sebagai pusat pertanian tanaman berhawa sejuk.

Projek pembangunan yang dinamakan `Projek Diraja Lojing' itu akan dilaksanakan dalam tahun ini dan bakal menjadikan Kelantan, pengeluar produk tanaman berhawa sejuk baru di negara ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, tanah tinggi Cameron Highlands yang terkenal sebagai kawasan penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan berhawa sejuk akan dijadikan pusat rujukan bagi projek itu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, rancangan pertanian baru itu sudah dimaklumkan kepada pihaknya oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

``Sultan dan Raja Perempuan Kelantan memaklumkan bahawa kerajaan negeri mahu membuka kawasan pertanian berhawa sejuk di Lojing dan meminta MARDI memberi nasihat serta membawa pelabur masuk ke situ.

``Cadangan pembangunan yang dinamakan `Projek Diraja Lojing' itu turut melibatkan pembukaan sebuah ladang strawberi kerana kesesuaian tanaman itu dengan iklim di kawasan berkenaan,'' katanya pada sidang akhbar selepas menemani Sultan dan Raja Perempuan Kelantan melawat Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands di sini semalam.

Dalam lawatan selama dua jam itu, Tuanku Ismail dan Tengku Anis telah dibawa melawat tapak tanaman strawberi, kilang memproses produk berasaskan strawberi dan kilang teh.

Semasa lawatan, baginda berdua berkenan bertanya mengenai tanaman strawberi dan perkembangan MARDI di Cameron Highlands khususnya tentang penyelidikan di kawasan tanah tinggi itu.

Mengulas lanjut `Projek Diraja Lojing', Dr, Abd. Shukor berkata, MARDI tidak tahu berapa luas kawasan pertanian yang akan dimajukan kerana ia terletak dalam bidang kuasa kerajaan Kelantan dan pihak istana.

Lagipun, katanya, projek itu masih di peringkat awal dan kawasan yang dikenal pasti untuk dibangunkan belum lagi diteroka dan dibersihkan.

``Bagaimanapun, Sultan berkenan mengurniakan tapak pertanian seluas empat hektar kepada MARDI untuk dibangunkan bagi projek penanaman strawberi.

``Justeru, MARDI akan menggunakan modul kilang memproses produk strawberi di Cameron Highlands untuk melatih pengusaha yang berminat membuka pelaburan di Lojing nanti.

``Dalam projek penanaman strawberi ini, pelaburan yang diperlukan ialah RM200,000 bagi setiap hektar tetapi MARDI hanya mengeluarkan 15 peratus kerana kos selebihnya ditanggung oleh pelabur,'' katanya.

Kata beliau, MARDI akan membawa pakar dalam penanaman strawberi dari ibu pejabatnya di Serdang, Selangor ke Lojing untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat apabila diperlukan.

Dr. Abd. Shukor memberitahu, Lojing yang terletak di kawasan cerun bukit iaitu pada ketinggian 800 hingga 1,000 meter dari aras laut memang sesuai untuk tanaman strawberi kerana suhunya sejuk sekitar 15 hingga 20 darjah celsius.

Katanya, teknik penanaman MARDI yang menggunakan sistem fertigasi membolehkan pokok strawberi berbuah selepas tiga bulan ditanam dan boleh bertahan selama tiga tahun.

No comments: